Monday, May 24, 2010

Ulasan Buku 4 - Dato Mufti Hj. Muhammad Nor Kelantan-Tokoh ulamak aliran Sunnah yang hafaz al-quran.


Tajuk buku : Ketokohan Dato' Mufti Haji Muhammad Nor.
Penulis : al-ustaz Abdullah al-Qari Hj Salleh.
Penerbit : Al-Hidayah (2010) Harga : RM 14.

Ini adalah satu buku yang perlu dimiliki oleh pecinta-pecinta sunnah negeri Kelantan khusus-nya dan di Malaysian am-nya kerana buku ini merupakan lakaran sejarah hidup tokoh ulamak yang terkenal lagi masyhur apatah lagi lakaran hidupnya diceritakan pula oleh 'tokoh sunnah' semasa yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Masyarakat Kelantan umum-nya mengenali Dato' Mufti Hj Muhammad Nor sebagai pengarang kitab Mustika Hadis dan Tafsir Pimpinan ArRahman. Jarang mereka mengenali betapa tokoh ulamak ini adalah seorang yang menperjuangkan sunnah ar- rasul saw dan beliau adalah seorang seorang bekas Mufti di Tanah Air satu-satu-nya setakat ini yang hafal al quran (al-hafiz) serta pakar dan mahir dalam qiraat al -quran.

Melihat kepada latar belakang keluarga dan pendidikan yang dilalui olehnya semasa kecil maka adalah tidak mengherankan apabila tokoh Mufti ini adalah seorang alim yang mencintai sunnah , pembenteras amalan bidaah yang berlaku dalam masyarakat di Kelantan khusus-nya . Ayahnya Hj Ibrahim Hj Yusof adalah juga bekas Mufti Negeri Kelantan. Fahamlah kita bahawa latar belakang keluarganya adalah latar belakang agama. Umurnya masih 8 tahun (1906) sudah dibawa ayahnya ke Mekah demi untuk menuntut ilmu agama dan disanalah beliau bergaul dan mampu bercakap bahasa arab dengan fasih. Juga sudah mula menghafal al-quran. Jadi adalah tidak megherankan kalau beliau seorang yang beraliran sunnah , melihat kepada suasana beliau di Arab Saudi dan beliau juga turut berperang semasa meletusnya "perang Wahabi" dimana beliau berada bersama pihak Kerajaan (Wahabi Mekah) pada masa itu. Beliau kembali ketanah Air dan kembali semula ke Mekah pada tahun 1929 dan tinggal untuk meneruskan pengajian selama lebih kurang 8 tahun dan berjaya menghafal al-quran (30 juzuk) serta memperoleh ijazah Qiraah. Beliau menghabiskan 7 qiraah dan lain-lain ilmu al-quran . Seterusnya menyambung pula pengajian qiraah empat belas dan berjaya menamatkan pengajian qiraah empat belas ini. Kalau inilah yang membelakangi latar belakang keilmuan beliau dalam bidang al-quran maka tidak heranlah beliau adalah tokoh yang pilih untuk menjadi pembimbing pertama Tahfiz di Masjid Negara (sebelum tertubuh-nya Darul Quran , Kuala Kubu Bharu) . Sekarang barulah saya (abu ishaq) mengetahui, bahawa inilah tokoh yang selalu disebut oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz , Menteri Besar Kelantan bahawa "orghe lain hantar anok murid untuk hafal al-quran tapi kito Kelate hantar tok guru quran !". Rupa-rupanya inilah tokoh yang dimaksudkan oleh Dato' Tuan Guru Menteri Besar !

Beliau juga seorang yang pakar dalam ilmu falak dan merupakan orang pertama yang menjadikan mata pelajaran ilmu falak diajar di Sekolah Jaaami Merbau (Kota Bharu) dan kepakaran dalam ilmu falak ini di akui oleh tokoh Falak seperti Sheikh Muhammad Tahir Jalaaluddin (Indonesia) dan Janan Taib (Guru di Masjidil Haram, Mekah) .

Disamping itu tokoh ini adalah juga Toko Pembahuruan. Beliau telah meninggalkan pengajaran secara mengenal Allah dengan Sifat Dua Puluh (20) kerana ianya berdasarkan sistem Mantiq orang-orang Yunani (Greek) dimana sistem ini menggunakan kaedah berfikir bahawa setiap sesuatu ada lawan-nya. Sebagai contoh kaedah untuk mengenal Allah mengikut kaedah ini. Allah itu "ada" ; lawan-nya "tiada". Dan apabila sifat Allah dilawankan , maka daripada satu , dia menjadi "dua" , sedangkan yang perlu diketahui hanya sifat-sifat Allah dan bukan-nya sifat makhluq. Itulah sebabnya pembelajaran tauhid kaedah ini mencelarukandan tidak segera dibawa kepada sasaran-nya. Maka pelajaran akan menjadi kaku dan tidak menarik . Oleh itu tidak hairanlah bila Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah mengharamkan orang islam ,mempelajari Ilmu Mantiq Yunani kerana ia mengajar manusia menggunakan kekuatan akal semata-mata dengan meninggalkan wahyu atau pedomam Al-Quran dan Al-Hadis. Inilah yang di tegaskan oleh al-ustaz Abdullah Qari dalam tulisan-nya itu. Inilah sebab-nya Dato Mufti Hj Muhammad Nor mengajak murid-nya memerhatikan ayat-ayat Suci sebagai dasar untuk mengenal Allah seperti yang terdapat dalam surah al-ikhlas.

Dato' Mufti Hj Muhammad Nor juga adalah pecinta sunnah. Beliau menjelaskan tiada-nya amalan berjabat tangan sesudah salam sembahyang. Diceritakan bahawa beliau pernah berceramah pendek di Masijid Solehin , Kubang Kerian selepas sembahyang Jumaat , beliau melarang umat Islam menjadikan tradisi berjabat salam sesudah berwirid sembahyang dengan menghulurkan tangan ke kanan dan ke kiri di mana akan rosaklah agama islam apabila perbuatan itu di-anggap sebagian daripada sembahyang atau sebagai amalan syarak. Begitu juga beliau tidak merestui lagu-lagu al-quran (Tarannum) seperti kini (amalam ditanah air kita). Beliau pernah berkata " Wei ! Tok usah berlagulah!" (Untuk lebih mengetahui tulisan ilmiah berkenaan dengan tarannum ini , (di anjurkan atau tidak/ ada atau tidak) pembaca disarankan untuk mengikuti penulisan oleh al-ustaz Badrul Hisham Sulaiman dalam akhbar Harakah sedikit masa dulu. Al-ustaz Badrul Hisham adalah Guru di Maahad Muhammadi lelaki Kota Bharu dan graduan Universiti Islam Madinah). Diceritakan juga bahawa Dato Mufti juga pernah mengeluh tentang sebahagian guru-guru Pondok . Dimana katanya " Hanya sebahagian guru-guru Pondok yang menjadi masalah. Mereka tidak begitu ingin mengkaji Al-Quran dan Sunnah Nabi saw mengikut cara yang benar" (dimana menyebabkan mereka mengikut tradisi dan terlibat dengan bidaah-bidaah yang merugikan. Persoalan ini tidak lah asing bagi orang-orang Kelantan hatta pengulas sendiri (abu ishaq ) adalah juga orang Kelantan yang sangat arif tentang permasalahan dari segi penbawakan amalan-amalan yang dibawa oleh golongan Pondok kedalam masyarakat Kelantan. Dan Dato' Mufti adalah sangat sensitif dalam menghadapi bermacam-macam bidaah dalam masyarakat. Umum mengetahui bidaah yang paling besar di Kelantan adalah yang berhubung dengan kematian dan perkahwinan. Tahlilan , bacaan quran dan zikir yang di hadiahkan pada si mati dan juga kenduri arwah sudah menjadi sinonim dalam masyarakat di Kelantan . Dato Mufti tidak mengalakkan amalan pemberian sedekah (upah) kepada orang-orang yang datang untuk bersembahyang jenazah sebab ianya sudah menjadi kewajipan kepada orang yang hidup.

Itulah sebahagian daripada sikap Dato Mufti dan Dato Mufti juga telah meninggalkan banyak tulisan atau buah pena yang ilmiah. Disamping itu anak-anak murid juga ramai , salah seorang yang menjadi kesayangan beliau adalah al-ustaz Muhammad Iraq (Ketua Dewan Ulamak Pas , Kelantan ) . Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lain-lain kegiatan beliau yang tidak di sentuh di sini seperti kegiatan mengajar beliau , peranan sebagai Mufti , peranan sebagai pembimbing Tahfiz Al Quran dan lain-lain hal termasuklah keadaan beliau di saat akhir sebelum meninggal , saya (abu ishaq) sangat-sangat menganjurkan para pencinta sunnah di tanah air terutama-nya anak Kelantan untuk tidak melepaskan peluang memiliki buku ini. Bagi saya beliau juga adalah ulamak aliran sunnah yang menjadi panutan pencinta sunnah dan ianya wajar ketengahkan untuk diketahui oleh masyarakat. Masyarakat Kelantan dapat berbangga dan menumpang tuah kerana pencinta dan penegak sunnah ar rasul s.a.w dapat dikatakan tali menali sambung menyambung sejak dari Tok Kenali , Dato Mufti Hj Muhammad Nor , al-Ustaz Abdul Ghani idris dan kini Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat , al-Ustaz Abdullah Qari Hj Salleh dan al-Ustaz Shaari Mustapa (Pasir Pekan) , sekadar menyebutkan beberapa nama. Persoalan-nya sekarang ,dapatkah kita berjumpa tokoh Mufti sekarang di Malaysia yang tegar dalam memperjuangkan sunnah nabi s.a.w dan sensitif terhadap persoalan bidaah yang berluasa dalam masyarakat sekarang (selain dari Matan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin) , jawapan-nya saya serahkan pada para pembaca !.

abu ishaq.